Jumat, 06 April 2012

bujang senag

Inilah kisah Bujang Senang di Sungai kami. Diceritakan, antaranya ada manusia jelmaan buaya. Mana Kampung, mana Daerah, mana Negeri yang tidak pernah mendengar kisah KERABAT Bujang Senang? Ia umpama satu lagenda.
Aku pernah menulis akan kisahnya dulu. Bila datang satu MUSIM, mereka pun muncul. Banyak sekali. Satu Malaysia, semua tahu. Mereka datang dari setiap pelosok kampung dan daerah, melalui sungai dan jalan darat. Datang mereka pun dengan berduyun-duyun. Cuaca panas, hari hujan, berhimpit sesak malah ribut dan petir pun tiada yang dapat menghalang. Banyak yang timbul di muara sungai. Untuk menentukan nasib, samada KEKAL ataupun BERTUKAR tuannya. Dengan adanya mereka, maka si Raja terus berkuasa di Singgahsananya. Itulah Kerajaan BUMI.
Merekalah pengawal, merekalah penyelamat dan merekalah pembunuh sekalian tentera daripada Kerajaan 3 Alam yang sentiasa berusaha untuk memecah benteng sempadan agar dapat menjajah negerinya.
Ampuh sekali benteng yang dibina. Tentera-tentera itu sekaliannya mudah ditewaskan, lalu datanglah segerombolannya dari LANGIT BIRU, dapat ditewaskan kemudian datang lagi satu gerombolan dari LANGIT HIJAU, juga ditewaskan dan berterusanlah perang itu tiada pengakhiran akan tandanya.
Demikianlah gagahnya Kerajaan BUMI yang kuat berkuasa, rakyatnya hidup begitu makmur sekali. Air pun dicurahkan dari tebing untuk mandian sang Bujang Senang sebagai penghargaan akan jasa mereka itu. Itulah kesenangan yang dikecapi mereka bersama.
Suatu hari HUJAN pun datang. Lebat sekali. Begitu lebat sehingga laut yang BIRU menjadi keruh. Gelombang besar tiba-tiba mendatang. Menghempas benteng, ladang dan rumah. Bah besar berlaku kini. Perit jerih rakyat tinggal tandanya saja. Semua hanyut dibawa arus. Kerajaan BUMI kini menderita.
Maka berkatalah sang Bujang Senang, “Wahai kamu sekalian rakyat, perkhabarkanlah kepada Rajamu. Sungai kami dah bercampur air laut.”
Ketika itu rakyat gundah gundala, menyelamatkan harta khazanah masing-masing. Negeri mereka separas air laut, menunggu detik untuk tenggelam sahaja.
Lalu mereka pun berkata, “kami tidak dapat membantumu, Raja kami tidak tahu bagaimana harus membantu kamu, cubalah tinggal di air masin”.
Diceritakan kemudian, kumpulan Bujang Senang itu pun marah lalu datang antara mereka mencabar sekalian rakyat sambil berkata, “Kami sudah berkurun lamanya hidup dalam persekitaran air tawar iaitu sebelum WUJUDNYA kerajaan kamu, bagaimana mungkin kamu memaksa kami tinggal di laut yang begitu masin sekali airnya? Begini jadinya, akan kami robohkan saja benteng yang mengawal kerajaan kamu!”
Rakyat negeri itu tetap berkeras. Mereka pun tiada pilihan. Jika diberi air tawar kepada kerabat Bujang Senang itu, maka akan ada di antara mereka yang MATI. Fikir mereka, asalnya Bujang Senang juga mampu hidup di air masin.

Sedang mereka didesak dan terus didesak kerabat Bujang Senang itu, akhirnya rakyat menjadi tidak keruan. Mereka mula berbalah sesama sendiri. Ada golongan yang mahu berkongsi air tawar, ramai lagi yang nekad tidak sekali-kali membenarkannya.
Melihat keadaan ini, si Raja mulai risau. Mana lagi penting, kerajaannyakah ataupun simpanan air tawarnya? Hilang kerajaannya, hilanglah kehidupan rakyatnya. Habis air simpanannya, habislah jua nyawa rakyatnya.
Seketika itu juga, datanglah salah seorang daripada menterinya yang berkuasa lalu berkata, “ Wahai Rajaku, ambillah sedikit air yang masin itu kemudian campurkanlah ia dengan air tawar simpanan kita. Mudah-mudahan dengan berbuat begini, maka cukuplah bekalan untuk kedua pihak tanpa hilang kerajaanmu.”
“Bagaimana pula jika rakyat memberontak terhadapku?” Tanya si Raja.
Lalu si menteri yang bijaksana itu mencadangkan agar dibuatkan sempadan di antara mereka.
“Katakanlah kepada rakyat di sebelah Barat Kerajaanmu, air tawar dikhaskan untuk mereka. Air masin diberikan kepada Bujang Senang”.
“Di sebelah Timur Kerajaanmu pula, katakan kepada Bujang Senang bahawa air tawar sudah diberikan setakat yang ada. Tetapi jika mereka hendak ke Barat, maka hendaklah mereka menggunakan air masin kerana air tawar HANYA untuk rakyat di sini sahaja”.
Kemudian setelah memikirkan ada kewajarannya dengan cara tersebut, berkatalah si Raja, “Baiklah, menteriku. Perkhabarkanlah kepada sekalian rakyat dan penjaga-penjaga kerajaanku Bujang Senang, akan jalan penyelesaian yang kau cadangkan itu”.

Lalu turunlah menteri itu mengkhabarkan kepada kedua-dua pihak dengan niatnya untuk menyelesaikan masalah yang rumit itu. Malangnya dia dicemuh..
Dalam hatiku ingin berkata, rakyat lebih memerlukan air untuk makan dan minum sedangkan bujang senang memerlukan air untuk tinggal di dalamnya sahaja. Tapi aku yakin, pasti TIDAK ADA antara mereka yang kisahnya ku tulis ini MENDENGAR apa yang aku katakan ini.
Berbalik kepada kisah tadi, rakyat negeri dan bujang senang mula berang.. Barat dan Timur juga satu kerajaan yang sama. Mengapa perlu disekat suatu yang pernah dikecapi dulu secara bebas? Lantaran itu berlakulah beberapa kejadian yang buruk dalam kerajaan BUMI.

Ada rumah yang rebah seperti dilibas sesuatu, ada juga tebing yang runtuh seperti dimusnahkan manusia namun antara mereka tiada yang mengakui. Tuduh menuduh, tuding menuding mula dilihat. Bermulalah konflik antara keduanya..
Raja menjadi serba salah. Sudah tentulah dia mahu negerinya disaliri sungai yang tawar airnya. Dia tidak rela melihat rakyatnya menderita. Tetapi apakah yang mampu dibuat olehnya?
Dan ketika itu muncullah para Pendekar Keris Bersilang di depan Istananya lantas mengorak langkah yang pertama, memalu tabuh tanda bertempur. Sang Bujang Senang kecewa marah lalu pergi. Dibiar salah, ditentang parah. Bukankah Si Raja dari kalangan pendekar itu juga?

Dan inilah yang sedang berlaku sekarang. Kerabat Bujang Senang marah kepada si Raja, bertempik dan berkata,”akan kami musnahkan benteng sempadan negerimu bila surut air bah ini kelak”.
“Biarlah kerajaan 3 alam pula yang masuk memerintah dan menurunkan kamu dari takhtamu. Ketika itu seramai mana pun para pendekar-pendekarmu yang ada, pasti tidak dapat membantumu”.
Aku mengandaikan waktu bah surut itu pada penghujung tahun depan. Beginilah perancangan yang telah dibuat setakat yang aku tahu. Sungai-sungai di sini sudah ada bibit-bibit untuk bertukar warnanya. Airnya kian menghijau, merah dan biruputih. Akan lenyapkah sungai BIRU yang satu ketikanya luas, seluas lautan di Laut China Selatan?
Aku tinggal di sungai ini. Aku ingin mengkhabarkan kepada semua rakyat kerajaan BUMI bahawa kami tinggal dalam kepungan Bujang Senang, makan minum kami bergantung kepada mereka yang membantu. Tidak semuanya jenis yang membantah. Cuma risau, andainya racun MERAH meresap dalam hati setiap mereka maka musnahlah benih-benih yang kami semaikan sejak sekian lama dulu.
Akan lenyapkah sungai-sungai yang airnya biru dan tenang di tempat kami?




http://rajahmas.blogspot.com/2010/01/kisah-kerajaan-raja-dan-bujang-senang.html